Dialogue
Global Partnership

Loading Events

« All Events

  • This event has passed.

Malaysia-Japan Global Seminar Series 2017

Start Date: 12/10/2017 ::: Organized By JFKL

Date & Time: 12 October 2017, 9.30 a.m.12.00 p.m.Tarikh & Masa: 12 Oktober 2017,9.30 pagi12.00 tengahari

Venue: Auditorium, Department of East Asian Studies, Faculty of Arts and Social Sciences, University of Malaya
Lokasi: Auditorium, Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Social, Universiti Malaya

Allpresentations will be delivered in Bahasa Malaysia.

ABSTRAK PEMBENTANGAN DAN BIODATA PEMBENTANG

Imigran Awal Jepun di Tanah Melayu, 1880-1941
DR. MD NASRUDIN MD. AKHIR

Situasi sosio-ekonomi komuniti agrarian luar bandar di Jepun yang dibelenggu keperihatan hidup selepas program industrialisasi di bawah Pembaharuan Meiji diperkenalkan pada tahun 1868 telah membawa kepada berlakunya migrasi orang-orang Jepun ke banyak negara termasuk Tanah Melayu. Pembentangan ini menumpukan kepada migrasi serta imigran awal orang-orang Jepun di Tanah Melayu bermula dari tahun 1880 sehingga 1941 yang bermotifkan ekonomi yang memperlihatkan empat sektor pekerjaan utama iaitu pertanian, perlombongan, perikanan serta perkhidmatan diceburi secara meluas oleh warganegara Jepun. Kertas ini mengaplikasi kaedah kualitatif yang menggunakan sumber utama dari pelbagai arkib di Malaysia, Singapura, Jepun, China dan Britain serta bahan-bahan sekunder dari perpustakaan serta muzium di Asia Timur. Terdapat kemungkinan besar sekiranya krisis-krisis intra-Asia serta Perang Dunia Kedua tidak berlaku sepanjang suku ketiga 1930-an sehingga 1941, aktiviti ekonomi serta perkhidmatan orang-orang Jepun di Tanah Melayu akan semakin diperluaskan di samping mencatatkan bilangan yang lebih signifikan.

DR. MD NASRUDIN MD. AKHIR adalah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Berkelulusan PhD dan Sarjana Muda dari Universiti Utara Malaysia dan Sarjana dari Nihon University, Jepun. Beliau juga merupakan penasihat Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS) serta Ketua Pusat Penyelidikan bagi Malaysia-Japan Research Centre (MJRC). Bidang kepakaran beliau ialah hubungan antarabangsa Asia Timur dan dasar luar Jepun.

DIFUSI BUDAYA POPULAR JEPUN:
PENGGUNAAN DAN PENGELUARAN AUDIENS MALAYSIA
DR. ROHAYATI PAIDI

Internet membolehkan pendigitalan dan pengedaran produk-produk budaya popular Jepun di peringkat antarabangsa seterusnya meningkatkan peluang masyarakat tempatan untuk mengakses lantas menjadikan diri mereka sebahagian daripada audiens bagi produk-produk berkenaan. Namun demikian, kemampuan untuk mengakses tidak sentiasa menjadikan seseorang itu sebagai peminat tegar. Ini kerana minat serta komitmen memainkan peranan penting dalam menentukan penglibatan seseorang dalam aktiviti yang berkaitan dengan teks budaya yang dipilih. Kajian ini meninjau tentang penyebaran budaya popular Jepun di peringkat global sebelum meneliti bagaimana produk-produk budaya popular Jepun terdifusi di Malaysia. Dengan mengaplikasikan teori audiens terbaur oleh Abercrombie dan Longhurst (1998), kajian ini merumuskan ciri-ciri audiens budaya popular Jepun di Malaysia yang dibahagikan kepada lima kategori iaitu pengguna, peminat, pemuja, penggiat dan pengeluar kecil.

DR. ROHAYATI PAIDI adalah pensyarah kanan dan juga Ketua di Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS). Berkelulusan PhD dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana dari Shiga University dan Sarjana Muda dari Kobe University. Bidang kepakaran beliau adalah budaya dan masyarakat Jepun serta budaya popular Jepun.

MALAYSIA DAN JEPUN DALAM PROSES REGIONALISME ASIA TIMUR:
SATU TINJAUAN
DR. GEETHA GOVINDASAMY

Pada dekad 1980an dan 1990an, negara-negara Asia Timur melalui proses perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang sangat dinamik. Pada bulan Disember 1990, Tun Dato? Seri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep Kumpulan Ekonomi Asia Timur atau East Asian Economic Grouping (kemudiannya ditukar kepada East Asian Economic Caucus/EAEC) bertujuan memupuk kesedaran identiti keserantauan dan lebih penting lagi untuk menangani serta mengimbangi kemunculan pengaruh ekonomi yang ketara daripada benua Eropah dan Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, beliau berpendapat entiti sebegini akan memperlindungi kepentingan negara-negara Asia Timur dalam order ekonomi baru yang dibina oleh pihak barat. Usaha beliau gagal direalisasikan disebabkan oleh kekurangan sambutan daripada negara-negara jiran, terutamanya Jepun, dan bangkangan kuat daripada Amerika Syarikat yang risau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Asia Pacific Economic Cooperation / APEC) akan kehilangan kekuatannya jikalau EAEC berkembang. Namun, dengan kemunculan ASEAN 3 pada tahun 1997, yang disokong kuat oleh Jepun, falsafah dan semangat EAEC serta keahliannya, seperti yang disarankan oleh Dr. Mahathir, diterap masuk ke dalam forum tersebut. Kini, proses regionalism Asia Timur lebih kukuh disebabkan oleh penyertaan Jepun merancakkan lagi kerjasama politik, ekonomi dan sosial kearah usaha pembentukan komuniti Asia Timur.

DR. GEETHA GOVINDASAMY adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS). Berkelulusan PhD dari Monash University, Australia, Sarjana dari International University of Japan, Sarjana Falsafah dari Queens College, University Of Cambridge dan Sarjana Muda dari Universiti Malaya. Bidang kepakaran beliau adalah hubungan antarabangsa dan keselamatan Asia Timur.

SUMBANGAN JEPUN TERHADAP PERKEMBANGAN EKONOMI MALAYSIA
DR. ALIAS ABDULLAH

Kajian ini merupakan analisis untuk mengkaji hubungan kausal dan antara peranan Jepun dalam membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia terutamanya yang berteraskan kepada aliran masuk Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Jepun. Sebagai satu-satunya negara maju di Asia, Jepun sentiasa berusaha untuk membantu negara-negara membangun dalam mengembangkan ekonomi mereka. Malaysia, sebagai salah satu negara membangun yang menerima sebahagian besar bantuan dan pelaburan secara langsung atau tidak langsung dari Jepun, telah mendapat faedah yang besar dalam pertumbuhan ekonominya hasil daripada bantuan dan kerjasama Jepun. Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Jepun telah bertambah baik sejak tahun 1980-an selepas pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur dengan kerjasama aliran masuk wang dan pelaburan asing langsung dari Jepun yang telah menunjukkan kesan positif dan signifikan terhadap perkembangan ekonomi Malaysia. Malaysia dan Jepun sejak sekian lama telah mengusahakan kerjasama mesra bersama dalam hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang kukuh sehingga kini. Dengan menggambarkan kerjasama ekonomi dua hala yang kuat, kedua-dua pihak telah mendapat manfaat bersama dan menjadi antara rakan kongsi penting dua hala antara satu sama lain. Kajian ini menganalisa semula sumbangan Jepun terhadap ekonomi Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pelbagai sektor dan cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara dalam kerjasama Jepun untuk terus menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

DR. ALIAS ABDULLAH adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur. Beliau merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pengajian Jepun Malaysia (MAJAS). Berkelulusan PhD dan sarjana dari Tottori University dan Sarjana Muda dari University Saint Louis Missouri. Bidang kepakaran beliau ialah ekonomi Jepun.

Kejatuhan LDP dan DPJ:
Pengajaran Kepada Malaysia
DR. ASMADI HASSAN

Kejayaan DPJ menewaskan LDP yang menguasai negara lebih dari setengah abad dianggap sebagai satu transformasi politik yang signifikan kepada politik Jepun. Kemenangan juga dianggap sebagai pemberian amanah rakyat kepada DPJ bagi membawa perubahan kepada politik Jepun yang telah sekian lama ditadbir oleh LDP. Walau bagaimanapun pentadbiran DPJ hanya dapat bertahan selama tiga tahun dan tiga bulan iaitu dari September 2009 hingga Disember 2012. DPJ tewas teruk dalam pilihan raya tersebut dengan kehilangan 75% daripada kerusinya. Kekalahan dalam jumlah kerusi yang besar adalah sangat memalukan. Apa yang nyata, rakyat yang memberi amanah kepada DPJ untuk mentadbir negara telah hilang kepercayaan kepada parti tersebut untuk terus mentadbir negara dan kembali menyokong LDP. Kertas kerja ini menganalisis kegagalan LDP mempertahankan penguasaannya sebagai parti pemerintah pada tahun 2009 dan kekalahan DPJ dalam pilihan raya Dewan Rendah pada Disember 2012 serta pengajaran yang boleh diambil oleh Malaysia daripada peristiwa tersebut.

DR. ASMADI HASSAN adalah pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Asia Timur. Beliau juga merupakan Presiden Persatuan Pengajian Jepun Malaysia. Berkelulusan PhD dan Ijazah Sarjana Muda dari Rancangan Pengajian Jepun, Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-undang (Sains Politik) dari Keio University, Jepun. Bidang kepakaran beliau ialah Sistem Pentadbiran dan Politik Jepun dan Kerajaan Tempatan Jepun.

Details

Date:
12/10/2017
Time:
9:30 am12:00 pm
Event Categories:
,

Organizer

Organized By JFKL
Phone:
Phone
Email:
Email
Website:
Website